Sunday, 24 June 2012

Kebaikan-kebaikan Yang Tersembunyi

Hidup yang kita lalui ini hakikatnya penuh dengan kebaikan.
Hatta, perkara yang menyusahkan kita juga sebenarnya terselit dalam kebaikan
Cuma, kita sahaja yang mungkin tidak perasan atau tidak menyedarinya.
Namun, bagi mereka yang yakin kepada Allah, maka mereka tidak akan merasakan pada kehidupan mereka sesuatu yang sukar atau tidak menyenangkan.
Yang mereka nampak hanyalah kebaikan dan kesenangan walaupun diduga dan diuji.
Ya, walaupun diuji dan diduga, hamba yang bersangka baik dengan Allah, yang percaya bahawa Allah tidak akan mengecewakannya, percaya bahawa Allah tidak berkehendakkan keburukan kepada hamba-hambaNya, mereka inilah manusia yang bahagia dan kuat imannya.
Contoh mudah.
Manusia biasa merungut apabila hujan.
Mungkin beberapa akiviti, seperti melancong, menyidai kain, bersiar-siar di taman, beriadah dan sebagainya akan terganggu.
Sebaliknya sedarkah kita bahawa dengan hujan itu, pokok-pokok, haiwan, tumbuhan dan alam mendapat kesegaran, minuman dan kesuburan?
Adakah kebaikan mereka hanya terhenti kepada mereka sahaja?
Tidak.
Bukankah kemudian ia sendiri akan kembali menyumbang kepada manusia itu sendiri?
Cantiknya susunan Allah ini hanya dapat difahami oleh mereka yang berfikir dan bersangka baik dengan Allah SWT.
Inilah yang dinamakan kebaikan-kebaikan yang tersembunyi.
Biasanya manusia tidak dapat melihat perkara ini.
Oleh sebab itu ramai antara kita yang asyik tahu merungut dan marah apabila keadaan cuaca, atau peristiwa yang tidak disukai berlaku.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Boleh jadi perkara yang kamu tidak sukai itu mendatangkan kebaikan kepada kamu, boleh jadi juga perkara yang kamu sukai itu mendatangkan keburukan buat kamu, dan Allah itu Maha Mengetahui dan kamu langsung tidak mengetahui."
Kebaikan-kebaikan yang tersembunyi ini biasanya hanya kita sedari apabila kita berfikir.
Namun, sebagai hamba, bukankah lebih baik jika kita meletakkan sepenuhnya keyakinan kepada Allah?
Biarkanlah Allah menyusun segala-galanya.
Kita hanya perlu berusaha bersungguh-sungguh, merancang kehidupan kita sebaik mungkin dan melaksanakannya mengikut kehendak Allah.
Jika Allah memberikan ujian, dugaan, kegagalan dan sebagainya, kita jangan cepat melatah dan menyalahkan Allah.
Pasti ada kebaikan dalam masalah itu, cuma kita sahaja yang tidak tahu.
Dalam setiap apa yang berlaku itu ada kebaikannya.
Tidak kira dalam hal apa sekalipun.
Tinggal kita sahaja yang hendak mempercayai, bersangka baik kepada Allah atau tidak.
Walaupun itu satu ujian yang sukar, atau dugaan yang berat, tetap ada kebaikan di sebaliknya.
Cuma kebaikan-kebaikan itu tersembunyi daripada pengetahuan kita.
Bagaimana?
Sudah mula hendak bersangka baik dengan Allah?
Mari kita bersama-sama bersangka baik denganNya.
Jika dirundung masalah atau musibah, maka hendaklah kita bersangka baik dan ucapkanlah syukur kepadaNya dan berdoa agar kita dapat melalui ujianNya dengan baik.
Hakikatnya, kita amat yakin dalam setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan dan kesenangan.
Dengan adanya sifat sebegini, hidup akan menjadi tenang, dan hati akan menjadi senang.

Monday, 18 June 2012

Allah Dekat Dan Sedia Menolong

"When someone is trying to pull you down when you are changing to be a better muslim. 
Tell them:
You are a test that Allah has sent to me"

Ini nasihat dari seorang sahabat.
Macam biasa, dia selalu datang waktu aku lemah.
Selalu muncul secara tiba-tiba bila aku mula patah semangat dan putus harapan.
Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih.
Sampai masa, tibanya waktu, jasa dia akan aku balas.
Tidak di dunia, di akhirat masih ada.
Aku yakin, dia adalah perantara aku dengan Allah.
Sebab aku juga yakin, Allah selalu dekat dan sedia membantu aku pada saat-saat macam ni.
Setiap dari kita pasti akan melalui waktu-waktu sukar.
Sememangnya kita ini bukanlah manusia sempurna yang tidak mempunyai masalah.
Cikgu aku semasa sekolah menengah, yang kini mengajar di SMK Dato' Ismail, Kelantan, Cikgu Nik Muhammad pernah berkata:
"Yang tiada masalah, maka dia bukan manusia."
Jadi suka atau tidak, mahu atau tidak, kita sebagai manusia yang berada di bawah aturan Allah ini akan menghadapi ujian dan cabaran.
Kesukaran dan kesusahan pastinya akan wujud dalam kehidupan kita.
Setiap kali kesusahan tiba, kita akan terasa seperti diri kita terhadang oleh satu dinding yang tinggi dan besar.
Kita tidak boleh terus dan mustahil untuk kita berpatah balik.
Ketika itu kita akan rasa seperti tersepit, terhimpit, dan dada kita akan menjadi sempit.
Itu pada pandangan lahiriah. 
Tetapi hakikatnya, jika kita bertenang dan kembali berfikir dengan rasional, maka kita akan melihat pada dinding itu terdapat satu pintu.
Pintu yang akan membawa kita menembusi dinding itu dan meneruskan perjalanan kita.
Persoalannya, kepada apakah pintu itu boleh kita terjemahkan jika merujuk dalam realiti kehidupan kita?
Jika mereka bertanya kepada aku, maka aku akan berkata, pintu itu ialah taqarrub kepada Allah.
Taqarrub yang membawa maksud mendekati Allah.
Ya, apabila kita mendekati Allah, nescaya Allah akan mencampakkan kemudahan dalam segenap urusan kita.
Percaya atau tidak, apabila kita mendekati Allah, maka jiwa kita akan menjadi tenang.
Segala masalah, segala halangan dan cubaan itu ternyata satu gesaan lembut daripada Allah untuk kita kembali mengingatiNya.
Bagi mereka yang memang benar-benar yakin kepada Allah pula, apabila diuji atau terhimpit dalam kesusahan, mereka pasti akan tetap tenang dan menghadapi ujian itu dengan tabah.
Apabila kita susah, keluarga belum tentu lagi ada di sisi kita.
Walaupun sahabat terbaik pun mungkin tidak sempat datang untuk membantu kita, tetapi Allah:
"sesungguhnya Allah itu lebih rapat daripada urat nadi kamu."
Dia sentiasa bersama kita.
Mendengar doa-doa kita.
Apabila kita susah, Allah sahajalah satu-satunya penolong kita yang ampuh.
Mari bermuhasabah.

Wednesday, 13 June 2012

Aku Harap Aku Baik-Baik Sahaja

Aku rasa aku tak normal.
Kepala aku selalu sakit. Dah 2 tahun rasa sakit ni.
Tapi sejak 2 3 minggu ni, sakit tu makin teruk. Sampaikan aku tak boleh nak pejamkan mata walaupun sekejap.
Bila waktu malam, aku tak dapat tidur lena. Aku kerap terjaga dari tidur kerana sakit kepala.
Lepas tu bila nak berdiri dari duduk atau bangun, kepala aku terasa pening.
Bukan sakit kepala, tapi pening. Rasa nak pengsan.
Sakit kat kepala, itu dah satu hal.
Berat aku pulak, turun dengan mendadak.
Logik ke tinggi aku 165cm tapi berat aku antara 38-45kg?
Sebelum ni berat aku normal. 50-55kg.
Aku hilang selera makan.
Mak dan kakak aku masak bukan main sedap. Tapi aku tak berselera langsung.
Aku berjalan pun dah tak seimbang.
Percakapan aku pun dah jadi kurang jelas.
Kesian tengok Abah, terpaksa tanya 3 4 kali apa yang aku cakap kat dia.
Bila aku call kak Jue pun, dia macam faham tak faham apa yang aku cakap kat dia.
Aku tak sedap hati.
Jadi aku tanya Pakcik Google.
Pening, Turun berat badan, Hilang selera makan, Badan tak seimbang, dan Percakapan kurang jelas, semuanya aku tanyakan pada Pakcik Google.
Akhirnya, aku terjumpa satu blog.
Blog seorang doktor yang amat prihatin kepada masalah kesihatan masyarakat.
Doktor Zubaidi Bin Haji Ahmad nama dia.
Pendek cerita, aku beranikan diri dengan menghantar mesej kepada doktor itu melalui laman sosial, Facebook.
Selepas 10 minit, ini jawapan dia.

Wa alaikumj mus salam...
semua ini tidak normal.
sdri perlukan pemeriksaan darah, air kencing, pemeriksaan hormon dan CTscan otak.
Sdri boleh lakukan pemeriksaan ini di hospital.
Buat sementara waktu minum air secukupnya.
Saya nasihatkan saudari, membaca salawat atas nabi tiga kali dan tiupkan ke dalam air sebelum diminum.
Saya pernah mersakan sakit kepala sehingga menjejaskan study saya ketika saya berada di matrikulasi UKM.
Alhamdulillah sudah sembuh, apabila saya minum air sebanyaknya dan bertawakal. pemeriksaan Ctscan otak saya normal. Alhamdulillah.


Masa baca jawapan doktor ni, aku terkejut.
Kenapa kena buat pemeriksaan semua tu? Ada yang tak kena ke?
Bagitahu Abah? Serba salah.
Abah tak akan percaya. Abah akan anggap semua ni masalah remeh.
Ceritakan kepada sesiapa pun, tak akan ada yang ambil peduli.
Jadi keputusan aku sekarang, serahkan semuanya kepada Tuhan.
Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNYA.
Andainya hayat aku tak lama, aku redha, jika itu yang terbaik untuk aku.

Monday, 11 June 2012

Cikgu, Saya Tak Maafkan Cikgu

Cuti sekolah dah berakhir.
Adik-adik aku pun dah mula bersekolah.
Jadi mulalah tugas aku menghantar dan mengambil mereka dari sekolah.
Setiap sejam, aku kena keluar masuk kereta. Letih yang amat.
Tiba giliran menghantar adik lelaki sulung aku ke kelas tambahan dia.
Mula jam 5 petang hingga jam 7. Dua jam sahaja.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, teringat satu cerita adik aku.
Cikgu yang mengajar dia sekarang adalah cikgu yang pernah mengajar aku satu ketika dahulu.
Tak sangka. Cikgu tu masih ingat aku.
Tapi sedih, kecewa, terkilan, marah, semua ada.
Sebab apa? Cikgu tu menceritakan kisah buruk aku depan adik lelaki aku.
Teringin rasanya nak berjumpa cikgu tu dan bertanya apa sebenarnya masalah dia.
Sebagai seorang cikgu, sepatutnya dia tunjukkan contoh yang baik.
Kalau pun cerita yang cikgu tu dengar cerita betul, tak perlu rasanya dia nak mengaibkan aku.
Apa yang dia dapat lepas membuka aib orang?
Bangga? Seronok? Gembira? Bahagia?
Dan macam mana pula jika cerita yang dia dengar tu salah belaka?
Bukankah dah jatuh dosa fitnah di situ?
Pastinya dia tahu dosa menfitnah itu lebih besar dari membunuh.
Ada akal, fikir.
Selama ni aku ceritakan yang baik-baik tentang dia kepada adik-adik aku.
Mengagung-agungkan nama dia.
Tapi dia?
Maaf, hilang segala rasa hormat tu semua.
Tak sangka seorang cikgu sanggup buat semua tu. Sampai hati.
Jadi kepada pembaca, aku nak nasihat. Aku nak pesan.
Tak kesah la siapa kita.
Tak kesah la apa pangkat dan jawatan pun kita di dunia ni.
Ingat.
Tak ada faedah sikit pun jika anda menfitnah dan mengaibkan seseorang tu.
Biarkanlah dia dengan hidup dia sendiri.
Tak perlu rasanya nak memburukkan seseorang itu supaya orang lain membenci dia.
Tak perlu. Buang masa.
Kalau rasa tak selesa, nasihatlah dia. Tegur dengan cara baik.
Ingat, hidup ini adil. 
Anda buat orang, orang akan buat anda semula.
Jika kita ada buat silap dengan seseorang, mintalah maaf. Tak susah.
Bak kata seorang kakak.
"Dia nak maafkan ke tak, itu urusan dia dengan Tuhan. Kita yang bersalah dan yang dah menyedari kesilapan ni dah pun menjalankan tanggungjawab kita."
Ingat.
Jangan sebab mulut, badan binasa.
Dosa dengan Allah, boleh solat sunat Taubat. Bersungguh-sungguh memohon ampun.
Kerana Allah sentiasa ada.
Tapi jika berdosa dengan manusia, pandai-pandai fikir.
Wallahualam.