Sunday 24 June 2012

Kebaikan-kebaikan Yang Tersembunyi

Hidup yang kita lalui ini hakikatnya penuh dengan kebaikan.
Hatta, perkara yang menyusahkan kita juga sebenarnya terselit dalam kebaikan
Cuma, kita sahaja yang mungkin tidak perasan atau tidak menyedarinya.
Namun, bagi mereka yang yakin kepada Allah, maka mereka tidak akan merasakan pada kehidupan mereka sesuatu yang sukar atau tidak menyenangkan.
Yang mereka nampak hanyalah kebaikan dan kesenangan walaupun diduga dan diuji.
Ya, walaupun diuji dan diduga, hamba yang bersangka baik dengan Allah, yang percaya bahawa Allah tidak akan mengecewakannya, percaya bahawa Allah tidak berkehendakkan keburukan kepada hamba-hambaNya, mereka inilah manusia yang bahagia dan kuat imannya.
Contoh mudah.
Manusia biasa merungut apabila hujan.
Mungkin beberapa akiviti, seperti melancong, menyidai kain, bersiar-siar di taman, beriadah dan sebagainya akan terganggu.
Sebaliknya sedarkah kita bahawa dengan hujan itu, pokok-pokok, haiwan, tumbuhan dan alam mendapat kesegaran, minuman dan kesuburan?
Adakah kebaikan mereka hanya terhenti kepada mereka sahaja?
Tidak.
Bukankah kemudian ia sendiri akan kembali menyumbang kepada manusia itu sendiri?
Cantiknya susunan Allah ini hanya dapat difahami oleh mereka yang berfikir dan bersangka baik dengan Allah SWT.
Inilah yang dinamakan kebaikan-kebaikan yang tersembunyi.
Biasanya manusia tidak dapat melihat perkara ini.
Oleh sebab itu ramai antara kita yang asyik tahu merungut dan marah apabila keadaan cuaca, atau peristiwa yang tidak disukai berlaku.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Boleh jadi perkara yang kamu tidak sukai itu mendatangkan kebaikan kepada kamu, boleh jadi juga perkara yang kamu sukai itu mendatangkan keburukan buat kamu, dan Allah itu Maha Mengetahui dan kamu langsung tidak mengetahui."
Kebaikan-kebaikan yang tersembunyi ini biasanya hanya kita sedari apabila kita berfikir.
Namun, sebagai hamba, bukankah lebih baik jika kita meletakkan sepenuhnya keyakinan kepada Allah?
Biarkanlah Allah menyusun segala-galanya.
Kita hanya perlu berusaha bersungguh-sungguh, merancang kehidupan kita sebaik mungkin dan melaksanakannya mengikut kehendak Allah.
Jika Allah memberikan ujian, dugaan, kegagalan dan sebagainya, kita jangan cepat melatah dan menyalahkan Allah.
Pasti ada kebaikan dalam masalah itu, cuma kita sahaja yang tidak tahu.
Dalam setiap apa yang berlaku itu ada kebaikannya.
Tidak kira dalam hal apa sekalipun.
Tinggal kita sahaja yang hendak mempercayai, bersangka baik kepada Allah atau tidak.
Walaupun itu satu ujian yang sukar, atau dugaan yang berat, tetap ada kebaikan di sebaliknya.
Cuma kebaikan-kebaikan itu tersembunyi daripada pengetahuan kita.
Bagaimana?
Sudah mula hendak bersangka baik dengan Allah?
Mari kita bersama-sama bersangka baik denganNya.
Jika dirundung masalah atau musibah, maka hendaklah kita bersangka baik dan ucapkanlah syukur kepadaNya dan berdoa agar kita dapat melalui ujianNya dengan baik.
Hakikatnya, kita amat yakin dalam setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan dan kesenangan.
Dengan adanya sifat sebegini, hidup akan menjadi tenang, dan hati akan menjadi senang.

Monday 18 June 2012

Allah Dekat Dan Sedia Menolong

"When someone is trying to pull you down when you are changing to be a better muslim. 
Tell them:
You are a test that Allah has sent to me"

Ini nasihat dari seorang sahabat.
Macam biasa, dia selalu datang waktu aku lemah.
Selalu muncul secara tiba-tiba bila aku mula patah semangat dan putus harapan.
Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih.
Sampai masa, tibanya waktu, jasa dia akan aku balas.
Tidak di dunia, di akhirat masih ada.
Aku yakin, dia adalah perantara aku dengan Allah.
Sebab aku juga yakin, Allah selalu dekat dan sedia membantu aku pada saat-saat macam ni.
Setiap dari kita pasti akan melalui waktu-waktu sukar.
Sememangnya kita ini bukanlah manusia sempurna yang tidak mempunyai masalah.
Cikgu aku semasa sekolah menengah, yang kini mengajar di SMK Dato' Ismail, Kelantan, Cikgu Nik Muhammad pernah berkata:
"Yang tiada masalah, maka dia bukan manusia."
Jadi suka atau tidak, mahu atau tidak, kita sebagai manusia yang berada di bawah aturan Allah ini akan menghadapi ujian dan cabaran.
Kesukaran dan kesusahan pastinya akan wujud dalam kehidupan kita.
Setiap kali kesusahan tiba, kita akan terasa seperti diri kita terhadang oleh satu dinding yang tinggi dan besar.
Kita tidak boleh terus dan mustahil untuk kita berpatah balik.
Ketika itu kita akan rasa seperti tersepit, terhimpit, dan dada kita akan menjadi sempit.
Itu pada pandangan lahiriah. 
Tetapi hakikatnya, jika kita bertenang dan kembali berfikir dengan rasional, maka kita akan melihat pada dinding itu terdapat satu pintu.
Pintu yang akan membawa kita menembusi dinding itu dan meneruskan perjalanan kita.
Persoalannya, kepada apakah pintu itu boleh kita terjemahkan jika merujuk dalam realiti kehidupan kita?
Jika mereka bertanya kepada aku, maka aku akan berkata, pintu itu ialah taqarrub kepada Allah.
Taqarrub yang membawa maksud mendekati Allah.
Ya, apabila kita mendekati Allah, nescaya Allah akan mencampakkan kemudahan dalam segenap urusan kita.
Percaya atau tidak, apabila kita mendekati Allah, maka jiwa kita akan menjadi tenang.
Segala masalah, segala halangan dan cubaan itu ternyata satu gesaan lembut daripada Allah untuk kita kembali mengingatiNya.
Bagi mereka yang memang benar-benar yakin kepada Allah pula, apabila diuji atau terhimpit dalam kesusahan, mereka pasti akan tetap tenang dan menghadapi ujian itu dengan tabah.
Apabila kita susah, keluarga belum tentu lagi ada di sisi kita.
Walaupun sahabat terbaik pun mungkin tidak sempat datang untuk membantu kita, tetapi Allah:
"sesungguhnya Allah itu lebih rapat daripada urat nadi kamu."
Dia sentiasa bersama kita.
Mendengar doa-doa kita.
Apabila kita susah, Allah sahajalah satu-satunya penolong kita yang ampuh.
Mari bermuhasabah.

Wednesday 13 June 2012

Aku Harap Aku Baik-Baik Sahaja

Aku rasa aku tak normal.
Kepala aku selalu sakit. Dah 2 tahun rasa sakit ni.
Tapi sejak 2 3 minggu ni, sakit tu makin teruk. Sampaikan aku tak boleh nak pejamkan mata walaupun sekejap.
Bila waktu malam, aku tak dapat tidur lena. Aku kerap terjaga dari tidur kerana sakit kepala.
Lepas tu bila nak berdiri dari duduk atau bangun, kepala aku terasa pening.
Bukan sakit kepala, tapi pening. Rasa nak pengsan.
Sakit kat kepala, itu dah satu hal.
Berat aku pulak, turun dengan mendadak.
Logik ke tinggi aku 165cm tapi berat aku antara 38-45kg?
Sebelum ni berat aku normal. 50-55kg.
Aku hilang selera makan.
Mak dan kakak aku masak bukan main sedap. Tapi aku tak berselera langsung.
Aku berjalan pun dah tak seimbang.
Percakapan aku pun dah jadi kurang jelas.
Kesian tengok Abah, terpaksa tanya 3 4 kali apa yang aku cakap kat dia.
Bila aku call kak Jue pun, dia macam faham tak faham apa yang aku cakap kat dia.
Aku tak sedap hati.
Jadi aku tanya Pakcik Google.
Pening, Turun berat badan, Hilang selera makan, Badan tak seimbang, dan Percakapan kurang jelas, semuanya aku tanyakan pada Pakcik Google.
Akhirnya, aku terjumpa satu blog.
Blog seorang doktor yang amat prihatin kepada masalah kesihatan masyarakat.
Doktor Zubaidi Bin Haji Ahmad nama dia.
Pendek cerita, aku beranikan diri dengan menghantar mesej kepada doktor itu melalui laman sosial, Facebook.
Selepas 10 minit, ini jawapan dia.

Wa alaikumj mus salam...
semua ini tidak normal.
sdri perlukan pemeriksaan darah, air kencing, pemeriksaan hormon dan CTscan otak.
Sdri boleh lakukan pemeriksaan ini di hospital.
Buat sementara waktu minum air secukupnya.
Saya nasihatkan saudari, membaca salawat atas nabi tiga kali dan tiupkan ke dalam air sebelum diminum.
Saya pernah mersakan sakit kepala sehingga menjejaskan study saya ketika saya berada di matrikulasi UKM.
Alhamdulillah sudah sembuh, apabila saya minum air sebanyaknya dan bertawakal. pemeriksaan Ctscan otak saya normal. Alhamdulillah.


Masa baca jawapan doktor ni, aku terkejut.
Kenapa kena buat pemeriksaan semua tu? Ada yang tak kena ke?
Bagitahu Abah? Serba salah.
Abah tak akan percaya. Abah akan anggap semua ni masalah remeh.
Ceritakan kepada sesiapa pun, tak akan ada yang ambil peduli.
Jadi keputusan aku sekarang, serahkan semuanya kepada Tuhan.
Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNYA.
Andainya hayat aku tak lama, aku redha, jika itu yang terbaik untuk aku.

Monday 11 June 2012

Cikgu, Saya Tak Maafkan Cikgu

Cuti sekolah dah berakhir.
Adik-adik aku pun dah mula bersekolah.
Jadi mulalah tugas aku menghantar dan mengambil mereka dari sekolah.
Setiap sejam, aku kena keluar masuk kereta. Letih yang amat.
Tiba giliran menghantar adik lelaki sulung aku ke kelas tambahan dia.
Mula jam 5 petang hingga jam 7. Dua jam sahaja.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, teringat satu cerita adik aku.
Cikgu yang mengajar dia sekarang adalah cikgu yang pernah mengajar aku satu ketika dahulu.
Tak sangka. Cikgu tu masih ingat aku.
Tapi sedih, kecewa, terkilan, marah, semua ada.
Sebab apa? Cikgu tu menceritakan kisah buruk aku depan adik lelaki aku.
Teringin rasanya nak berjumpa cikgu tu dan bertanya apa sebenarnya masalah dia.
Sebagai seorang cikgu, sepatutnya dia tunjukkan contoh yang baik.
Kalau pun cerita yang cikgu tu dengar cerita betul, tak perlu rasanya dia nak mengaibkan aku.
Apa yang dia dapat lepas membuka aib orang?
Bangga? Seronok? Gembira? Bahagia?
Dan macam mana pula jika cerita yang dia dengar tu salah belaka?
Bukankah dah jatuh dosa fitnah di situ?
Pastinya dia tahu dosa menfitnah itu lebih besar dari membunuh.
Ada akal, fikir.
Selama ni aku ceritakan yang baik-baik tentang dia kepada adik-adik aku.
Mengagung-agungkan nama dia.
Tapi dia?
Maaf, hilang segala rasa hormat tu semua.
Tak sangka seorang cikgu sanggup buat semua tu. Sampai hati.
Jadi kepada pembaca, aku nak nasihat. Aku nak pesan.
Tak kesah la siapa kita.
Tak kesah la apa pangkat dan jawatan pun kita di dunia ni.
Ingat.
Tak ada faedah sikit pun jika anda menfitnah dan mengaibkan seseorang tu.
Biarkanlah dia dengan hidup dia sendiri.
Tak perlu rasanya nak memburukkan seseorang itu supaya orang lain membenci dia.
Tak perlu. Buang masa.
Kalau rasa tak selesa, nasihatlah dia. Tegur dengan cara baik.
Ingat, hidup ini adil. 
Anda buat orang, orang akan buat anda semula.
Jika kita ada buat silap dengan seseorang, mintalah maaf. Tak susah.
Bak kata seorang kakak.
"Dia nak maafkan ke tak, itu urusan dia dengan Tuhan. Kita yang bersalah dan yang dah menyedari kesilapan ni dah pun menjalankan tanggungjawab kita."
Ingat.
Jangan sebab mulut, badan binasa.
Dosa dengan Allah, boleh solat sunat Taubat. Bersungguh-sungguh memohon ampun.
Kerana Allah sentiasa ada.
Tapi jika berdosa dengan manusia, pandai-pandai fikir.
Wallahualam.

Sunday 10 June 2012

Sabar Ainul, Sabar.

Bila harapan dan impian kita dihalang oleh semua orang.
Bila kemahuan kita ditentang.
Bila cita-cita juga diperlekehkan.
Ingat, Allah sentiasa ada bersama.
Sabar Ainul, sabar.
Katakan apa sahaja yang mereka mahu, hati aku tidak akan berubah.
Sikit pun tak akan berubah. Aku berjanji.
Kerana aku percaya jalan ini benar.
Caci, maki, cemuhan, hinaan, dah tak ada kesan di hati aku.
Aku tetap akan pertahankan apa yang aku usahakan ni.
Sabar Ainul, sabar.
Air mata yang mengalir biarkan mengalir.
Jadikan air mata ini sebagai kekuatan untuk aku teruskan perjalanan.
Aku percaya.
Setiap masalah pasti ada jalannya.
Selagi hidup aku sentiasa bergantung hanya pada Allah, aku percaya Dia tak akan biarkan aku bersendirian.
Keputusan aku tidak akan berubah.
Aku dah kata aku cuma nak yang itu, jadi cuma itu yang aku nak.
Terima kasih Khairul Syafiq yang berusaha untuk bantu aku.
Siang dan malam.
Tawarkan aku untuk masuk jemaah itu dan jemaah ini.
Berikan aku dua orang sahabat perempuan dia untuk berikan aku lebih keselesaan.
Terima kasih kak Zuliana yang sentiasa berikan aku semangat.
Kongsikan ilmu itu dan ilmu ini.
Tak pernah buat aku rasa sunyi.
Sekurang-kurangnya ada jugak yang memahami.
Mata memang dah letih, tapi bukan hati.
Sabar Ainul, sabar.
Ya Allah, bantu aku. Kuatkan aku.

Saturday 9 June 2012

Berperang Dengan Dosa

Soalan : Macam mana ainul boleh berubah? cam dulu ainul lain. sekarang ni banyak berubah. akak just tanya je. akak bangga ngan ainul coz dapat berubah. sebab akak tahu nak berubah susah. banyak kita kena hadapi.

Alhamdulillah.
Terima kasih kat kakak yang bagi soalan tu.
Sebenarnya soalan tu dah lama. 5 Jun lagi.
Cuma hari ni tiba-tiba teringat dan terbaca semula mesej dia tu.
 Baiklah, aku jawab.
Apabila kita katakan yang kita hendak mendekati Allah SWT, hakikatnya kita telah mengisytiharkan perang terhadap segala bentuk dosa dan maksiat.
Teringat kata-kata Iman Syafi'e.
"Ilmu itu ialah cahaya, dan cahaya tidak akan memasuki hati yang gelap."
Jika ilmu itu dianggap cahaya dan tidak memasuki hati yang gelap, apa lagi rahmat Allah yang pastinya lebih tinggi dan mulia daripada ilmu.
Sebenarnya, kefahaman kita untuk mendekati Allah itu juga merupakan ilmu.
Memang, jika kita perhatikan apabila hidup kita ini bergelumang dengan dosa, maka kita sukar untuk mendapatkan atau melakukan sesuatu.
Kebiasaannya apabila kita melakukan dosa dan maksiat, kita tidak mampu melakukan perkara yang biasanya kita boleh lakukan.
Kekuatan kita seakan-akan terhijab apabila kita melakukan dosa.
Kenapa?
Dosa pada hakikatnya akan menumbuhkan satu bintik hitam di hati kita.
Maka, jika kita berterusan melakukan dosa, tidakkah hati kita akan jadi semakin hitam?
Jika kita sering melazimi dosa dan tidak berusaha menjauhinya, maka hati kita akan jatuh pada peringkat hati yang sakit.
Pada peringkat hati yang sakit ini, kita akan lihat pada diri kita rasa berat untuk beramal.
Kita mula rasa enak dengan dosa yang kita lakukan dan kita boleh lihat yang diri kita telah jauh dari Allah.
Jika pada peringkat ini kita masih tidak sedarkan diri dan tidak berusaha untuk berperang dengan dosa serta berusaha untuk mendekati Allah, maka hati kita akan terus menghitam dan jatuh pada hati yang mati.
Adakah manusia di dalam dunia ini yang mati kemudian hidup kembali?
Maka seorang Mukmin akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga hatinya kerana hatinya ialah raja kepada seluruh tubuhnya.
Mendekati Raja Segala Raja, Pencipta Segala Pencipta, Ilah dan Rab kepada seluruh alam semesta, kita hendak atau tidak, perlu mengisytiharkan perang dengan dosa.
Jika pada saat ini diri kita masih dibelenggu dengan dosa-dosa yang kita suka lakukan, atau sudah terbiasa lakukan, maka kita perlu berusaha menjauhi dengan gerak tindakan yang konsisten.
Macam yang pernah aku katakan di satu laman sosial.
"Tiada manusia yang boleh berubah serta-merta, tetapi semua manusia perlu bergerak dan berusaha untuk berubah. Allah itu Maha Penyayang. Dia tidak akan mengecewakan hamba-hambaNYA yang mendekatiNYA."
Kita sebagai anak Adam pastinya akan melakukan banyak dosa. 
Tetapi sebaik-baik pelaku dosa ialah orang yang sering bertaubat.
Mari kita isytiharkan perang terhadap dosa-dosa kita.
Mendekati Allah Yang Maha Besar dan mendapatkan syurga yang selama-lamanya itu lebih besar daripada keseronokan dosa kita yang sementara.
Maka mari kita berusaha bersama-sama.
Ya, bersama-sama.
Kita sama-sama berperang, meningkatkan diri, meninggalkan dosa, dan mendekati Ilahi.
InsyaAllah.

Friday 8 June 2012

Aku Cintakan Dia

Selepas solat isya' semalam, aku habiskan masa dengan menghadap laptop.
Bukan berfacebook, bukan berblogging, dan bukan juga bertwitter atau beryoutube.
Tapi ada satu laman web yang memaparkan kisah-kisah yang menarik perhatian aku.
Kisah tentang Dajjal, Kiamat, dan kisah tentang hari pembersihan.
Hari pembersihan yang dimaksudkan aku ialah satu hari pada pertengahan bulan Ramadhan, dan jatuh pada hari Jumaat.
Pada hari itu, hanya tinggal 1/3 sahaja manusia di dunia.
Yang tinggal itu adalah manusia yang beriman dan terpilih.
Selebihnya mati kerana takut dengan suara malaikat dari langit.
Betulkan sekiranya aku tersilap.
Aku mula terfikir untuk membaca artikel ini selepas teringat pesanan seorang kawan.
Sewaktu sedang Skype, dia sempat beritahu aku.
Tahun ini, 15 Ramadhan jatuh pada hari Jumaat iaitu pada 3 Ogos.
Betulkan lagi sekiranya ada kesilapan.
Aku tak risau. Dan rasanya tak perlu takut.
Sekiranya berita itu benar, maka jadilah.
Nabi pun pernah berpesan.
Sekiranya esok adalah hari kiamat, dalam tangan kita ada benih, maka tanamlah benih itu.
Yang akan berlaku biarkan berlaku.
Tak ada dan tak pernah Nabi ajarkan istilah terlambat.
Sebagai manusia, sediakanlah bekalan untuk menempuh hari kiamat itu.
Bertaubat, kembalilah ke jalan Allah.
Selagi Allah menghidupkan kita pada pagi ini, itu bermakna kita masih terlalu banyak dosa.
Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat kepada hambaNya tidak kira siang atau malam.
Allah berikan peluang, maka gunakanlah peluang itu sebaik mungkin.
Dan bila terbaca tentang kiamat, seterusnya kematian, aku terbaca tentang Cintamu Ya Rasulullah.
Dalam artikel itu menceritakan betapa kasihnya Rasulullah terhadap umatnya.
Menitis air mata ketika membaca artikel itu.
Rasulullah tak pernah lupakan umatnya walaupun seketika.
Tapi lihatlah di luar sana dan renungkanlah diri kita juga.
Terharu bila tahu sedalam mana cintanya kekasih kita kepada kita, lebih cinta dan dalam lagi kasih sayang Nabi Muhammad SAW kepada kita.
Sesiapa pun yang membaca artikel ini pula pasti akan menangis.
Aku yakin, aku jamin.
Dulu aku sibuk kejar cinta manusia.
Dulu juga aku leka dengan kasih sayang manusia.
Tapi sekarang, aku dapat rasa cinta yang lebih indah, lebih berpanjangan, lebih bahagia, dan lebih tenang berbanding cinta manusia yang pernah singgah di hati aku satu masa dahulu.
Iaitu cinta kepada Allah dan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.
Sungguh, sebenar-benarnya aku tak bohong.
Cinta ini buat aku rasa aku selalu dijaga dan tak pernah terasa keseorangan.
Aku ada tempat mengadu, aku ada sebab untuk berlagu (zikir & selawat), aku ada pendengar yang paling setia dan selalu berikan aku ketenangan malah jalan penyelesaian juga.
Aku berani katakan di sini, aku mencintai seorang lelaki ini lebih dari segalanya.
Sehinggakan pintu hati aku tidak mahu dibuka untuk mana-mana lelaki.
Ya, lelaki itu adalah lelaki yang paling sempurna.
Dirinya seperti Al-Quran.
Dialah Nabi Muhammad SAW.
Aku mencintai dia dengan segenap jiwa aku.

Thursday 7 June 2012

Kelebihan

Mata dia meliar-liar semasa bercerita.
Kerap juga mata dia berkelip. Selalunya tak macam tu.
Kadang-kadang tu sengaja garu hidung dia yang tak gatal.
Aku tanya lain, lain pulak yang dia jawab.
Dan bila aku tanya satu soalan, sepuluh dia huraikan.
Sampai kadang-kadang tu keluar dari soalan.
Kenapa dengan dia?
Sebenarnya dia tengah cuba berusaha menipu aku.
Tapi malang, dia tak berjaya.
Ini yang dinamakan kelebihan.
Kelebihan yang Allah kurniakan kepada aku.
Alhamdulillah.
Orang ada masalah? Sedang dalam kesedihan? Tertekan?
Semuanya aku boleh baca dari anak mata dia.
Sebab itu mungkin ramai yang tewas bila cuba menipu aku.
Hati sedang sedih dan kecewa, tapi berpura-pura gembira.
Yang lain tertipu dengan raut wajah dia yang gembira tu. Tapi bukan aku.
Aku dapat baca apa yang dia rasa.
Alhamdulillah, ini kelebihan.
Tak ada niat nak membangga diri.
Aku bersyukur kerana dikurniakan kelebihan ni.
Sesetengah orang kata kelebihan aku ni menakutkan.
Kenapa perlu takut?
Ada buat silap ke?
Minta maaf lah. Tak susah.



Ini antara isi ucapan hari lahir untuk seorang kawan :)
Aku bukanlah penyelesai masalah terbaik.
Tapi aku berani kata, aku pendengar yang paling setia.
Tiba-tiba, teringat kata seorang cikgu semasa di PLKN dulu.
Cikgu Bob orang panggil dia. Mungkin kerana tubuhnya yang agak berisi, dia dapat nama tu.
Dia pernah pesan, kalau aku jadi cikgu, aku akan jadi seorang cikgu yang berjaya.
Dan kalau aku dah bergelar ibu pun, aku seorang ibu yang hebat.
Aku tak faham kenapa.
Tapi di sini aku nak bagitahu. Dia hebat, dia berbakat.
Dia mampu baca fikiran orang.
Dia boleh tahu masa depan orang itu dan orang ini.
Aku tak tipu, aku dah nampak banyak bukti.
Jadi aku nak bagitahu.
Allah itu Maha Adil.
Setiap kekurangan pasti dihadiahkan dengan kelebihan.
Tak salah merendahkan diri.
Tapi jangan sampai menghina diri tu.
Itu sama seperti kita merendahkan Allah.
Ciptaan Allah itu semuanya sempurna, tak ada cacat celanya.
Manusia je yang tak pandai bersyukur.

Wednesday 6 June 2012

Kawan

"Seandainya engkau bertemu seorang kawan yang sanggup bersusah atas nama kesetiaan, mendahulukan atas nama kebajikan, menyimpan keaiban mu atas nama kejujuran, menegur kelemahan mu atas nama kebaikan, memendam rasa terkilan demi menjaga perasaan, dia bukanlah seorang kawan tetapi seorang saudara & sahabat sejati yang sukar di cari."


Alhamdulillah. 
Allah kurniakan dan temukan aku dengan seorang penguat semangat. 
Yang bila aku bercakap dengan dia aku teringatkan Allah. 
Teringatkan dosa-dosa lalu. 
Teringatkan betapalah kalau kenal dia lebih awal.
Ya, itu salah satu cara Allah nak bagi hidayah kepada manusia.
Alhamdulillah. 
Teringatkan kuliah-kuliah maghrib yang selalu Abah bawa kami sekeluarga.
Rasanya pernah juga beberapa kali cerita pasal kawan. 
Macam mana nak pilih kawan dan sebagainya.
Seseorang ada beritahu.
"Rasulullah sendiri cakap. Kalau kita berkawan dengan penjual minyak wangi, maka kita pun sekali jadi wangi. Tapi kalau kita berkawan dengan tukang besi, kita jugak bau asap, atau berbau macam besi tu. Busuk."
Dan seseorang lagi ada pesan.
"Kita boleh nampak dari air muka dia, wajah dia, dia beriman ke tidak. Tak kan lah kita nak kawan dengan orang yang muka pecah rumah pulak kan."
Terima kasih ye.
 InsyaAllah. 
Sama-sama lah kita. 
Siapa sahabat itu? 
Siapa penguat semangat itu? 
Dan siapa jugak yang selalu menasihatkan aku tu?
Biarlah rahsia.
Mungkin dia tak mahu dikenali.
Tapi yang pasti, dia seorang kakak yang selalu menghabiskan masa dengan melihat aku menangis.
Kesian dia.
Apa-apa pun, banyak betul cabaran nanti. 
Tapi tak apa. 
Macam aku pernah cakap.
Keep your mind positive. Think positive.
I keep on telling myself that everything will be just fine.
And yeah I hope that so.

Tuesday 5 June 2012

Sabar dan Tenang

Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat melarikan diri daripada hinaan.
Hidup kita tidak sempurna, malah pasti akan wujud kekurangan dan cacat cela di mana-mana.
Bukan semua orang suka dan senang dengan tingkah laku kita, kerana pasti ada sahaja hinaan yang datang bertandang.
Biasanya manusia menjadi lemah dan kecewa apabila hinaan datang kepadanya.
Tambah pula hinaan itu bukan sekadar dengan kata-kata sinis, tetapi datang dalam bentuk perbuatan yang menghiris hati.
Manusia yang tidak senang dengan kita akan sentiasa datang mengganggu kehidupan kita, merendah-rendahkan kita dan sebagainya.
Saat diri kita disentuh oleh hinaan ini, hati kita akan mudah terasa dan menjadi lemah.
Kita akan rasa terganggu, lalu tubuh badan dan pemikiran kita terasa seperti dibelenggu.
Rasa letih, rasa sia-sia segala kerja, dan rasa tidak bermakna segala usaha.
Akhirnya, kita akan berhenti bekerja, berhenti berusaha, berhenti segala-galanya.
Adakah kehidupan kita akan bermakna jika kita bertindak sedemikian?
Adakah akan bermakna usia kita jika kita berhenti daripada berusaha?
Adakah bermakna hayat kita jika kita tewas hanya kerana orang menghina?


Pada saat kita hendak mengaku kalah itu, kita mungkin terlupa bahawa Nabi Nuh a.s. telah berdakwah selama 950 tahun.
Adakah dia berdakwah dalam keadaan senang-lenang tanpa hinaan?
Tidak, dia berhadapan dengan hinaan sepanjang 950 tahun itu.
Hatta anak dan isterinya turut menghinanya.
Lihat, 950 tahun Nabi Nuh menyeru dalam keadaan sedemikian rupa.
Dia mengalah? Tidak.
Malah dia tetap yakin akan kebenaran kerjanya dan meneruskan kerjanya sehingga Allah memberikan kemenangan kepadanya.
Lihat pula Rasulullah SAW, Baginda dihina sepanjang masa dakwahnya di Makkah.
Ketika Baginda berdakwah untuk orang yang mengerjakan haji ke Makkah, Abu Jahal akan sentiasa mengikutinya ke semua tempat dan apabila Rasulullah hendak menyampaikan dakwah, maka Abu Jahal akan turut berbicara menghinanya.
Rasulullah SAW digelar oleh kafir musyrikin Makkah dengan gelaran orang gila, ahli sihir, dan sebagainya.
Namun Baginda tetap tidak berhenti.
Sabar dan tenang adalah sikap Baginda yang menyebabkan Baginda menang daripada putus asa.
Ketabahan Baginda itu menyebabkan kaum musyrikin datang ke rumah Baginda dan menawarkan tawaran-tawaran hebat seperti menjadi raja, mendapat perempuan cantik, dan harta.
Tahukah anda apa yang Baginda katakan kepada mereka?
"Andai kata kamu meletakkan matahari di tangan kananku, dan kamu letakkan bulan di tangan kiriku, maka aku tetap tidak akan meninggalkan kerja-kerjaku ini."
Apa yang berlaku kepada perjuangan Rasulullah selepas itu?
Bukankah berjaya?
Buktinya, iman dan islam itu sampai ke tangan kita hari ini.
Orang menghina?
Jangan terganggu, teruskan kerja-kerja anda.
Bukankah Allah bersama-sama anda?

Monday 4 June 2012

Pilihan

Dalam hidup ni kita selalu terjumpa jalan yang penuh dengan simpang.
Nak ke tak nak, pilihan tu mesti kena buat jugak.
Pilihan sama ada nak lalu jalan depan, kanan, belakang, atau kiri.
Sebab kalau tak buat pilihan, kita tak dapat teruskan perjalanan tu.
Dan hari ni, aku diberikan pilihan.
Pilihan ini yang akan menentukan masa depan.
Pilihan ini jugak lah yang menjawab segala persoalan.
Pengajian Islam(Dakwah) atau Kejururawatan.
Itu pilihan yang aku kena lakukan.

Qyla dan Ainul

Kejururawatan.
Aku pernah belajar kos ni satu masa dulu.
Tapi mungkin kos ni terlalu tough dan aku dibuang dari universiti tu.
Semasa di tingkatan 5, aku pelajar aliran sastera yang hanya mengambil 8 mata pelajaran.
Cuma mungkin kerana subjek Sains aku A, aku diterima oleh universiti itu.
Aku tak minat sains. Aku minat seni. Aku minat sastera.
Sebab itu bila ditanya, aku tak faham apa-apa pun yang diajar.
Lepas aku diberhentikan, perasaan sayang pada kos kejururawatan ni masih ada.
Sebab dengan kos ni, aku dapat dekatkan diri dengan semua orang tak kira umur, agama dan bangsa.
Aku mula sayangkan kos ni selepas praktikal selama 3 bulan di Hospital Umum Sarawak.
Bila pesakit-pesakit bercerita tentang masalah mereka, aku terasa dipercayai.
Kerja jururawat jugak satu kerja yang mulia.
Sepanjang 3 bulan tu, kerja aku hanya membersihkan pesakit.
Nanah, darah, tahi, muntah, itu semua dah buat aku lali.
Tapi sejujurnya, aku seronok buat kerja ni.
Cuma masa dalam kelas tu yang aku tak boleh.
Aku tak rasa seronok belajar benda dalam badan yang entah apa-apa ni.

Aku nak cuba jadi macam dalam gambar ni. InsyaAllah.

Pengajian Islam (Dakwah).
Sejak kejadian gempa bumi di Indonesia, pintu hati aku terbuka untuk berubah.
Sebab sebelum kejadian gempa bumi tu berlaku, aku mimpi dunia ni kiamat.
Rumah aku tengelam dalam tanah.
Aku menangis merayu pada Allah supaya dihentikan kiamat, dan aku tersedar dari tidur.
Seharian tubuh aku menggeletar.
Sejak hari itu, aku mula berdakwah di satu laman sosial.
Apa yang aku sampaikan tu dikongsi-kongsikan kepada semua orang.
Aku seronok bila ramai yang mula menerima perubahan aku.
Tak kurang jugak yang memberikan kepercayaan kepada aku dengan menceritakan masalah mereka.
Ada juga yang sudi bertanyakan kepada aku soal agama.
Aku terasa dihormati.
Sejak hari itu, minat untuk mendalami ilmu agama semakin mendalam.
Aku mula gunakan khidmat Pakcik Google untuk belajar ilmu agama.
Aku gunakan Makcik Youtube untuk dengar ceramah dan debat dari ustaz dan ustazah.
Subhanallah, sungguh luas ilmu Allah ni.
Dengan pertolongan dan nasihat sahabat-sahabat terutamanya kak Zuliana, makin bertambah ilmu yang aku tahu.
Aku seronok belajar semua ni.
Tak ada istilah terpaksa dan dipaksa, aku sendiri rela.
Dan bila aku terjumpa laman web sebuah kolej swasta yang menawarkan kursus pengajian islam, aku buka semua yang terkandung dalam kos tu.
BAHASA ARAB, FEQAH IBADAT, USUL FEQAH, AL-QURAN, AQIDAH, TARIKH ADAB \ ASAS PENGURUSAN, HADITH, TASAWWUF & AKHLAK, SISTEM & THAQAFAH ISLAM, MANTIQ, AGAMA & MAZHAB, TAFSIR, ULUM AL-HADITH, DAKWAH, HADHORAH ISLAMIYYAH, ULUM AL-QURAN, ALIRAN PERMIKIRAN SEMASA, FALSAFAH AM, TEORI KHUTBAH.
Aku nak tahu semua ni !
Aku nak belajar sebab aku nak tahu.
Bukan macam dulu, belajar kerana nak kejar nama dan pointer.
Tapi sekarang, ramai yang pertikaikan tentang kerja.
Mereka kata kos ni masa depan tak ke mana.


Aku nak sambung belajar kos Pengajian Islam. Tapi ramai tak bagi. Diorang kata majoriti jadi cikgu je semua. So? Apa masalahnya? Cikgu pun kerja jugak kan? Kalau tak ada cikgu boleh ke mereka semua tu membaca? Bagi aku, kalau kita kejar akhirat, dunia yang akan cari kita. Contohnya Ustaz Azhar Idrus. Tak payah cerita, semua dah tau pasal dia. Cuma bila aku belajar kos ni, kosnya mahal. Dan aku tak ada basic arab. Entahlah, aku lebih fikir yang baik dari yang buruk. Tak tahu, kena belajar. Kalau tak belajar mana nak tahu kan? Aku nak belajar bahasa syurga. Aku nak tahu sangat apa yang ada dalam Al-Quran.

Sunday 3 June 2012

Hari Pertama

Assalamualaikum. 
Dah lama rasanya tak update blog ni.
Hari ni baru ada peluang nak update.
Bila baca semula entry-entry blog aku yang lepas, Ya Allah.
Teruknya aku ni.
Dah, aku malas nak ungkit semula dosa silam.
Pintu taubat sentiasa terbuka untuk orang yang ingin bertaubat.
Alhamdulillah, aku antara hamba Allah yang terpilih.
Diberikan Allah nur dan hidayah.
Aku tak akan sia-siakan peluang yang Allah dah berikan ni.
InsyaAllah, aku akan cuba jadi hamba Allah yang terbaik semampu yang boleh.
Lantak lah apa orang nak kata.
Ini hidup aku, dosa pahala yang aku kena tanggung sendiri.
Alhamdulillah.
Kawan-kawan tak berhenti berikan semangat untuk aku terus berubah.
Bagi yang mencaci dan menghina tu, aku anggap tu semua dugaan dari Allah.
Dugaan untuk menguji sama ada aku betul-betul nak berubah atau tak.
Alhamdulillah lagi sekali.
Walaupun aku jatuh untuk seketika dengan caci maki mereka tu, tapi aku mampu berdiri semula.
Allah berikan aku kekuatan.
Yang mana bila aku teringatkan DIA, hati aku jadi sayu.
Dan bila terdengar alunan nasyid dan zikir, air mata aku berlinangan.
Subhanallah.
Baru aku sedar betapa hebatnya Allah.
Selama ni aku cuma pandai cakap "Aku hamba dan Allah itu tuhan"
Tapi perasaan tu tak ada.
Perasaan yang bila aku fikir betapa kerdilnya diri aku ni, tubuh aku akan menggeletar.
Sumpah, hebat perasaan ni.
Tak pernah aku rasa semua ni masa dulu.
Alhamdulillah, terima kasih Allah.