Tuesday 5 June 2012

Sabar dan Tenang

Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat melarikan diri daripada hinaan.
Hidup kita tidak sempurna, malah pasti akan wujud kekurangan dan cacat cela di mana-mana.
Bukan semua orang suka dan senang dengan tingkah laku kita, kerana pasti ada sahaja hinaan yang datang bertandang.
Biasanya manusia menjadi lemah dan kecewa apabila hinaan datang kepadanya.
Tambah pula hinaan itu bukan sekadar dengan kata-kata sinis, tetapi datang dalam bentuk perbuatan yang menghiris hati.
Manusia yang tidak senang dengan kita akan sentiasa datang mengganggu kehidupan kita, merendah-rendahkan kita dan sebagainya.
Saat diri kita disentuh oleh hinaan ini, hati kita akan mudah terasa dan menjadi lemah.
Kita akan rasa terganggu, lalu tubuh badan dan pemikiran kita terasa seperti dibelenggu.
Rasa letih, rasa sia-sia segala kerja, dan rasa tidak bermakna segala usaha.
Akhirnya, kita akan berhenti bekerja, berhenti berusaha, berhenti segala-galanya.
Adakah kehidupan kita akan bermakna jika kita bertindak sedemikian?
Adakah akan bermakna usia kita jika kita berhenti daripada berusaha?
Adakah bermakna hayat kita jika kita tewas hanya kerana orang menghina?


Pada saat kita hendak mengaku kalah itu, kita mungkin terlupa bahawa Nabi Nuh a.s. telah berdakwah selama 950 tahun.
Adakah dia berdakwah dalam keadaan senang-lenang tanpa hinaan?
Tidak, dia berhadapan dengan hinaan sepanjang 950 tahun itu.
Hatta anak dan isterinya turut menghinanya.
Lihat, 950 tahun Nabi Nuh menyeru dalam keadaan sedemikian rupa.
Dia mengalah? Tidak.
Malah dia tetap yakin akan kebenaran kerjanya dan meneruskan kerjanya sehingga Allah memberikan kemenangan kepadanya.
Lihat pula Rasulullah SAW, Baginda dihina sepanjang masa dakwahnya di Makkah.
Ketika Baginda berdakwah untuk orang yang mengerjakan haji ke Makkah, Abu Jahal akan sentiasa mengikutinya ke semua tempat dan apabila Rasulullah hendak menyampaikan dakwah, maka Abu Jahal akan turut berbicara menghinanya.
Rasulullah SAW digelar oleh kafir musyrikin Makkah dengan gelaran orang gila, ahli sihir, dan sebagainya.
Namun Baginda tetap tidak berhenti.
Sabar dan tenang adalah sikap Baginda yang menyebabkan Baginda menang daripada putus asa.
Ketabahan Baginda itu menyebabkan kaum musyrikin datang ke rumah Baginda dan menawarkan tawaran-tawaran hebat seperti menjadi raja, mendapat perempuan cantik, dan harta.
Tahukah anda apa yang Baginda katakan kepada mereka?
"Andai kata kamu meletakkan matahari di tangan kananku, dan kamu letakkan bulan di tangan kiriku, maka aku tetap tidak akan meninggalkan kerja-kerjaku ini."
Apa yang berlaku kepada perjuangan Rasulullah selepas itu?
Bukankah berjaya?
Buktinya, iman dan islam itu sampai ke tangan kita hari ini.
Orang menghina?
Jangan terganggu, teruskan kerja-kerja anda.
Bukankah Allah bersama-sama anda?