Sunday 24 June 2012

Kebaikan-kebaikan Yang Tersembunyi

Hidup yang kita lalui ini hakikatnya penuh dengan kebaikan.
Hatta, perkara yang menyusahkan kita juga sebenarnya terselit dalam kebaikan
Cuma, kita sahaja yang mungkin tidak perasan atau tidak menyedarinya.
Namun, bagi mereka yang yakin kepada Allah, maka mereka tidak akan merasakan pada kehidupan mereka sesuatu yang sukar atau tidak menyenangkan.
Yang mereka nampak hanyalah kebaikan dan kesenangan walaupun diduga dan diuji.
Ya, walaupun diuji dan diduga, hamba yang bersangka baik dengan Allah, yang percaya bahawa Allah tidak akan mengecewakannya, percaya bahawa Allah tidak berkehendakkan keburukan kepada hamba-hambaNya, mereka inilah manusia yang bahagia dan kuat imannya.
Contoh mudah.
Manusia biasa merungut apabila hujan.
Mungkin beberapa akiviti, seperti melancong, menyidai kain, bersiar-siar di taman, beriadah dan sebagainya akan terganggu.
Sebaliknya sedarkah kita bahawa dengan hujan itu, pokok-pokok, haiwan, tumbuhan dan alam mendapat kesegaran, minuman dan kesuburan?
Adakah kebaikan mereka hanya terhenti kepada mereka sahaja?
Tidak.
Bukankah kemudian ia sendiri akan kembali menyumbang kepada manusia itu sendiri?
Cantiknya susunan Allah ini hanya dapat difahami oleh mereka yang berfikir dan bersangka baik dengan Allah SWT.
Inilah yang dinamakan kebaikan-kebaikan yang tersembunyi.
Biasanya manusia tidak dapat melihat perkara ini.
Oleh sebab itu ramai antara kita yang asyik tahu merungut dan marah apabila keadaan cuaca, atau peristiwa yang tidak disukai berlaku.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Boleh jadi perkara yang kamu tidak sukai itu mendatangkan kebaikan kepada kamu, boleh jadi juga perkara yang kamu sukai itu mendatangkan keburukan buat kamu, dan Allah itu Maha Mengetahui dan kamu langsung tidak mengetahui."
Kebaikan-kebaikan yang tersembunyi ini biasanya hanya kita sedari apabila kita berfikir.
Namun, sebagai hamba, bukankah lebih baik jika kita meletakkan sepenuhnya keyakinan kepada Allah?
Biarkanlah Allah menyusun segala-galanya.
Kita hanya perlu berusaha bersungguh-sungguh, merancang kehidupan kita sebaik mungkin dan melaksanakannya mengikut kehendak Allah.
Jika Allah memberikan ujian, dugaan, kegagalan dan sebagainya, kita jangan cepat melatah dan menyalahkan Allah.
Pasti ada kebaikan dalam masalah itu, cuma kita sahaja yang tidak tahu.
Dalam setiap apa yang berlaku itu ada kebaikannya.
Tidak kira dalam hal apa sekalipun.
Tinggal kita sahaja yang hendak mempercayai, bersangka baik kepada Allah atau tidak.
Walaupun itu satu ujian yang sukar, atau dugaan yang berat, tetap ada kebaikan di sebaliknya.
Cuma kebaikan-kebaikan itu tersembunyi daripada pengetahuan kita.
Bagaimana?
Sudah mula hendak bersangka baik dengan Allah?
Mari kita bersama-sama bersangka baik denganNya.
Jika dirundung masalah atau musibah, maka hendaklah kita bersangka baik dan ucapkanlah syukur kepadaNya dan berdoa agar kita dapat melalui ujianNya dengan baik.
Hakikatnya, kita amat yakin dalam setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan dan kesenangan.
Dengan adanya sifat sebegini, hidup akan menjadi tenang, dan hati akan menjadi senang.

1 comment:

  1. salam..kadang2 kita selalu berfikiran negatif jika apa yg kita inginkan kita tak dpt,tp Allah sebenrnya lebih tahu apa yg kita perlukan..saya ini selalu terlupa..

    ReplyDelete