Thursday 25 October 2012

Ketenangan.

Sejak dua menjak ni, banyak sangat ujian yang datang.
Mungkin kerana Allah sudah terlalu rindu mendengar doa hambaNYA.
Mungkin juga Allah sudah rindu untuk aku sujud meminta pertolongan dariNYA.
Cuma aku yang tak sedar.

Dua tiga hari lepas, aku jumpa satu tempat.
Tempat yang beri aku 100% ketenangan.
Kalau sebelum ni, setiap kali fikiran aku bercelaru, aku akan keluar berjalan-jalan bersama kawan.
Tak pun, aku duduk seorang diri di dalam bilik.
Tapi kali ni, aku ke masjid.
Masjid mana? Ini dia.




Tadaaa! 
Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah


Mungkin sebab masjid ni agak dekat dengan rumah aku, jadi aku cuba-cuba lah 'lepak' kat situ.
Mula-mula datang agak janggal.
Yelah, tak selalu datang situ.
Selalunya bila Abah habis kerja awal, bila cuti minggu, waktu semua ada kat rumah baru kitorang pergi solat berjemaah kat sana.

Okay, masuk je kat situ, AKU SESAT.
Hahaha.
Tak tahu nak ke kanan atau kiri.
Jadi aku jalan je lah mana aku nak jalan.
Dan lepas tu baru lah jumpa pintu masuk untuk ke tempat solat.
Dalam perjalanan masuk tu, ada sorang pak cik tegur aku.

"ye dik. nak ke mana?"
"haa, kat mana eh tempat perempuan?"
"ok. adik jalan terus, nampak tangga tu kan? adik naik lif tingkat dua. selalunya student duduk kat situ. boleh tidur ke, buat assignment ke."
"oh, ok ok. terima kasih pak cik."
"sama-sama"


Nak jadi cerita, aku ni 'pandai' sangat.
Pak cik tu suruh aku jalan terus, aku pun jalan terus je lah.
Separuh jalan nak ke tangga tu, baru aku sedar aku tengah berjalan depan orang lelaki yang tengah solat, yang tengah mengaji, dan yang tengah PANDANG aku.
Okay, serious masa tu aku sangat sangat sangat malu.
Tapi masa tu aku buat muka tebal, aku main jalan je.
Hahaha.


Dah sampai tingkat dua, benda pertama aku nampak,

ini :)

Hahaha.
Jangan risau. Saya 100% muslimah asli, tulen, dan sewaktu dengannya.


Ini permandangan di belakang bahagian atas.


Dan yang ini pula di bahagian bawah.


Ini bumbung masjid. Cantik kan kan kan?


Dan yang ini pintunya.


Dekat hampir lima jam aku duduk kat situ.
Fikir balik dosa-dosa lalu.
Muhasabah diri.
Setengah jam sebelum  aku balik rumah, aku buat kerja 'baik' sikit kat situ.
Hehehe :)



Mengintai!
Hahaha. Nampak tak ada orang solat kat situ?
Kalau tak nampak tu silakan lah pakai cermin mata ye.




Dua gambar kat atas ni sebab dah tak ada kerja.



ps : teringat tanda-tanda kiamat. 'Masjid dibina indah dan mahal - mahal tetapi tidak banyak ahli jemaah dan tidak dijadikan sebagai pusat gerakan Islam.'

Sunday 24 June 2012

Kebaikan-kebaikan Yang Tersembunyi

Hidup yang kita lalui ini hakikatnya penuh dengan kebaikan.
Hatta, perkara yang menyusahkan kita juga sebenarnya terselit dalam kebaikan
Cuma, kita sahaja yang mungkin tidak perasan atau tidak menyedarinya.
Namun, bagi mereka yang yakin kepada Allah, maka mereka tidak akan merasakan pada kehidupan mereka sesuatu yang sukar atau tidak menyenangkan.
Yang mereka nampak hanyalah kebaikan dan kesenangan walaupun diduga dan diuji.
Ya, walaupun diuji dan diduga, hamba yang bersangka baik dengan Allah, yang percaya bahawa Allah tidak akan mengecewakannya, percaya bahawa Allah tidak berkehendakkan keburukan kepada hamba-hambaNya, mereka inilah manusia yang bahagia dan kuat imannya.
Contoh mudah.
Manusia biasa merungut apabila hujan.
Mungkin beberapa akiviti, seperti melancong, menyidai kain, bersiar-siar di taman, beriadah dan sebagainya akan terganggu.
Sebaliknya sedarkah kita bahawa dengan hujan itu, pokok-pokok, haiwan, tumbuhan dan alam mendapat kesegaran, minuman dan kesuburan?
Adakah kebaikan mereka hanya terhenti kepada mereka sahaja?
Tidak.
Bukankah kemudian ia sendiri akan kembali menyumbang kepada manusia itu sendiri?
Cantiknya susunan Allah ini hanya dapat difahami oleh mereka yang berfikir dan bersangka baik dengan Allah SWT.
Inilah yang dinamakan kebaikan-kebaikan yang tersembunyi.
Biasanya manusia tidak dapat melihat perkara ini.
Oleh sebab itu ramai antara kita yang asyik tahu merungut dan marah apabila keadaan cuaca, atau peristiwa yang tidak disukai berlaku.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Boleh jadi perkara yang kamu tidak sukai itu mendatangkan kebaikan kepada kamu, boleh jadi juga perkara yang kamu sukai itu mendatangkan keburukan buat kamu, dan Allah itu Maha Mengetahui dan kamu langsung tidak mengetahui."
Kebaikan-kebaikan yang tersembunyi ini biasanya hanya kita sedari apabila kita berfikir.
Namun, sebagai hamba, bukankah lebih baik jika kita meletakkan sepenuhnya keyakinan kepada Allah?
Biarkanlah Allah menyusun segala-galanya.
Kita hanya perlu berusaha bersungguh-sungguh, merancang kehidupan kita sebaik mungkin dan melaksanakannya mengikut kehendak Allah.
Jika Allah memberikan ujian, dugaan, kegagalan dan sebagainya, kita jangan cepat melatah dan menyalahkan Allah.
Pasti ada kebaikan dalam masalah itu, cuma kita sahaja yang tidak tahu.
Dalam setiap apa yang berlaku itu ada kebaikannya.
Tidak kira dalam hal apa sekalipun.
Tinggal kita sahaja yang hendak mempercayai, bersangka baik kepada Allah atau tidak.
Walaupun itu satu ujian yang sukar, atau dugaan yang berat, tetap ada kebaikan di sebaliknya.
Cuma kebaikan-kebaikan itu tersembunyi daripada pengetahuan kita.
Bagaimana?
Sudah mula hendak bersangka baik dengan Allah?
Mari kita bersama-sama bersangka baik denganNya.
Jika dirundung masalah atau musibah, maka hendaklah kita bersangka baik dan ucapkanlah syukur kepadaNya dan berdoa agar kita dapat melalui ujianNya dengan baik.
Hakikatnya, kita amat yakin dalam setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan dan kesenangan.
Dengan adanya sifat sebegini, hidup akan menjadi tenang, dan hati akan menjadi senang.

Monday 18 June 2012

Allah Dekat Dan Sedia Menolong

"When someone is trying to pull you down when you are changing to be a better muslim. 
Tell them:
You are a test that Allah has sent to me"

Ini nasihat dari seorang sahabat.
Macam biasa, dia selalu datang waktu aku lemah.
Selalu muncul secara tiba-tiba bila aku mula patah semangat dan putus harapan.
Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih.
Sampai masa, tibanya waktu, jasa dia akan aku balas.
Tidak di dunia, di akhirat masih ada.
Aku yakin, dia adalah perantara aku dengan Allah.
Sebab aku juga yakin, Allah selalu dekat dan sedia membantu aku pada saat-saat macam ni.
Setiap dari kita pasti akan melalui waktu-waktu sukar.
Sememangnya kita ini bukanlah manusia sempurna yang tidak mempunyai masalah.
Cikgu aku semasa sekolah menengah, yang kini mengajar di SMK Dato' Ismail, Kelantan, Cikgu Nik Muhammad pernah berkata:
"Yang tiada masalah, maka dia bukan manusia."
Jadi suka atau tidak, mahu atau tidak, kita sebagai manusia yang berada di bawah aturan Allah ini akan menghadapi ujian dan cabaran.
Kesukaran dan kesusahan pastinya akan wujud dalam kehidupan kita.
Setiap kali kesusahan tiba, kita akan terasa seperti diri kita terhadang oleh satu dinding yang tinggi dan besar.
Kita tidak boleh terus dan mustahil untuk kita berpatah balik.
Ketika itu kita akan rasa seperti tersepit, terhimpit, dan dada kita akan menjadi sempit.
Itu pada pandangan lahiriah. 
Tetapi hakikatnya, jika kita bertenang dan kembali berfikir dengan rasional, maka kita akan melihat pada dinding itu terdapat satu pintu.
Pintu yang akan membawa kita menembusi dinding itu dan meneruskan perjalanan kita.
Persoalannya, kepada apakah pintu itu boleh kita terjemahkan jika merujuk dalam realiti kehidupan kita?
Jika mereka bertanya kepada aku, maka aku akan berkata, pintu itu ialah taqarrub kepada Allah.
Taqarrub yang membawa maksud mendekati Allah.
Ya, apabila kita mendekati Allah, nescaya Allah akan mencampakkan kemudahan dalam segenap urusan kita.
Percaya atau tidak, apabila kita mendekati Allah, maka jiwa kita akan menjadi tenang.
Segala masalah, segala halangan dan cubaan itu ternyata satu gesaan lembut daripada Allah untuk kita kembali mengingatiNya.
Bagi mereka yang memang benar-benar yakin kepada Allah pula, apabila diuji atau terhimpit dalam kesusahan, mereka pasti akan tetap tenang dan menghadapi ujian itu dengan tabah.
Apabila kita susah, keluarga belum tentu lagi ada di sisi kita.
Walaupun sahabat terbaik pun mungkin tidak sempat datang untuk membantu kita, tetapi Allah:
"sesungguhnya Allah itu lebih rapat daripada urat nadi kamu."
Dia sentiasa bersama kita.
Mendengar doa-doa kita.
Apabila kita susah, Allah sahajalah satu-satunya penolong kita yang ampuh.
Mari bermuhasabah.

Wednesday 13 June 2012

Aku Harap Aku Baik-Baik Sahaja

Aku rasa aku tak normal.
Kepala aku selalu sakit. Dah 2 tahun rasa sakit ni.
Tapi sejak 2 3 minggu ni, sakit tu makin teruk. Sampaikan aku tak boleh nak pejamkan mata walaupun sekejap.
Bila waktu malam, aku tak dapat tidur lena. Aku kerap terjaga dari tidur kerana sakit kepala.
Lepas tu bila nak berdiri dari duduk atau bangun, kepala aku terasa pening.
Bukan sakit kepala, tapi pening. Rasa nak pengsan.
Sakit kat kepala, itu dah satu hal.
Berat aku pulak, turun dengan mendadak.
Logik ke tinggi aku 165cm tapi berat aku antara 38-45kg?
Sebelum ni berat aku normal. 50-55kg.
Aku hilang selera makan.
Mak dan kakak aku masak bukan main sedap. Tapi aku tak berselera langsung.
Aku berjalan pun dah tak seimbang.
Percakapan aku pun dah jadi kurang jelas.
Kesian tengok Abah, terpaksa tanya 3 4 kali apa yang aku cakap kat dia.
Bila aku call kak Jue pun, dia macam faham tak faham apa yang aku cakap kat dia.
Aku tak sedap hati.
Jadi aku tanya Pakcik Google.
Pening, Turun berat badan, Hilang selera makan, Badan tak seimbang, dan Percakapan kurang jelas, semuanya aku tanyakan pada Pakcik Google.
Akhirnya, aku terjumpa satu blog.
Blog seorang doktor yang amat prihatin kepada masalah kesihatan masyarakat.
Doktor Zubaidi Bin Haji Ahmad nama dia.
Pendek cerita, aku beranikan diri dengan menghantar mesej kepada doktor itu melalui laman sosial, Facebook.
Selepas 10 minit, ini jawapan dia.

Wa alaikumj mus salam...
semua ini tidak normal.
sdri perlukan pemeriksaan darah, air kencing, pemeriksaan hormon dan CTscan otak.
Sdri boleh lakukan pemeriksaan ini di hospital.
Buat sementara waktu minum air secukupnya.
Saya nasihatkan saudari, membaca salawat atas nabi tiga kali dan tiupkan ke dalam air sebelum diminum.
Saya pernah mersakan sakit kepala sehingga menjejaskan study saya ketika saya berada di matrikulasi UKM.
Alhamdulillah sudah sembuh, apabila saya minum air sebanyaknya dan bertawakal. pemeriksaan Ctscan otak saya normal. Alhamdulillah.


Masa baca jawapan doktor ni, aku terkejut.
Kenapa kena buat pemeriksaan semua tu? Ada yang tak kena ke?
Bagitahu Abah? Serba salah.
Abah tak akan percaya. Abah akan anggap semua ni masalah remeh.
Ceritakan kepada sesiapa pun, tak akan ada yang ambil peduli.
Jadi keputusan aku sekarang, serahkan semuanya kepada Tuhan.
Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNYA.
Andainya hayat aku tak lama, aku redha, jika itu yang terbaik untuk aku.