Monday 18 June 2012

Allah Dekat Dan Sedia Menolong

"When someone is trying to pull you down when you are changing to be a better muslim. 
Tell them:
You are a test that Allah has sent to me"

Ini nasihat dari seorang sahabat.
Macam biasa, dia selalu datang waktu aku lemah.
Selalu muncul secara tiba-tiba bila aku mula patah semangat dan putus harapan.
Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih.
Sampai masa, tibanya waktu, jasa dia akan aku balas.
Tidak di dunia, di akhirat masih ada.
Aku yakin, dia adalah perantara aku dengan Allah.
Sebab aku juga yakin, Allah selalu dekat dan sedia membantu aku pada saat-saat macam ni.
Setiap dari kita pasti akan melalui waktu-waktu sukar.
Sememangnya kita ini bukanlah manusia sempurna yang tidak mempunyai masalah.
Cikgu aku semasa sekolah menengah, yang kini mengajar di SMK Dato' Ismail, Kelantan, Cikgu Nik Muhammad pernah berkata:
"Yang tiada masalah, maka dia bukan manusia."
Jadi suka atau tidak, mahu atau tidak, kita sebagai manusia yang berada di bawah aturan Allah ini akan menghadapi ujian dan cabaran.
Kesukaran dan kesusahan pastinya akan wujud dalam kehidupan kita.
Setiap kali kesusahan tiba, kita akan terasa seperti diri kita terhadang oleh satu dinding yang tinggi dan besar.
Kita tidak boleh terus dan mustahil untuk kita berpatah balik.
Ketika itu kita akan rasa seperti tersepit, terhimpit, dan dada kita akan menjadi sempit.
Itu pada pandangan lahiriah. 
Tetapi hakikatnya, jika kita bertenang dan kembali berfikir dengan rasional, maka kita akan melihat pada dinding itu terdapat satu pintu.
Pintu yang akan membawa kita menembusi dinding itu dan meneruskan perjalanan kita.
Persoalannya, kepada apakah pintu itu boleh kita terjemahkan jika merujuk dalam realiti kehidupan kita?
Jika mereka bertanya kepada aku, maka aku akan berkata, pintu itu ialah taqarrub kepada Allah.
Taqarrub yang membawa maksud mendekati Allah.
Ya, apabila kita mendekati Allah, nescaya Allah akan mencampakkan kemudahan dalam segenap urusan kita.
Percaya atau tidak, apabila kita mendekati Allah, maka jiwa kita akan menjadi tenang.
Segala masalah, segala halangan dan cubaan itu ternyata satu gesaan lembut daripada Allah untuk kita kembali mengingatiNya.
Bagi mereka yang memang benar-benar yakin kepada Allah pula, apabila diuji atau terhimpit dalam kesusahan, mereka pasti akan tetap tenang dan menghadapi ujian itu dengan tabah.
Apabila kita susah, keluarga belum tentu lagi ada di sisi kita.
Walaupun sahabat terbaik pun mungkin tidak sempat datang untuk membantu kita, tetapi Allah:
"sesungguhnya Allah itu lebih rapat daripada urat nadi kamu."
Dia sentiasa bersama kita.
Mendengar doa-doa kita.
Apabila kita susah, Allah sahajalah satu-satunya penolong kita yang ampuh.
Mari bermuhasabah.