Monday, 11 June 2012

Cikgu, Saya Tak Maafkan Cikgu

Cuti sekolah dah berakhir.
Adik-adik aku pun dah mula bersekolah.
Jadi mulalah tugas aku menghantar dan mengambil mereka dari sekolah.
Setiap sejam, aku kena keluar masuk kereta. Letih yang amat.
Tiba giliran menghantar adik lelaki sulung aku ke kelas tambahan dia.
Mula jam 5 petang hingga jam 7. Dua jam sahaja.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, teringat satu cerita adik aku.
Cikgu yang mengajar dia sekarang adalah cikgu yang pernah mengajar aku satu ketika dahulu.
Tak sangka. Cikgu tu masih ingat aku.
Tapi sedih, kecewa, terkilan, marah, semua ada.
Sebab apa? Cikgu tu menceritakan kisah buruk aku depan adik lelaki aku.
Teringin rasanya nak berjumpa cikgu tu dan bertanya apa sebenarnya masalah dia.
Sebagai seorang cikgu, sepatutnya dia tunjukkan contoh yang baik.
Kalau pun cerita yang cikgu tu dengar cerita betul, tak perlu rasanya dia nak mengaibkan aku.
Apa yang dia dapat lepas membuka aib orang?
Bangga? Seronok? Gembira? Bahagia?
Dan macam mana pula jika cerita yang dia dengar tu salah belaka?
Bukankah dah jatuh dosa fitnah di situ?
Pastinya dia tahu dosa menfitnah itu lebih besar dari membunuh.
Ada akal, fikir.
Selama ni aku ceritakan yang baik-baik tentang dia kepada adik-adik aku.
Mengagung-agungkan nama dia.
Tapi dia?
Maaf, hilang segala rasa hormat tu semua.
Tak sangka seorang cikgu sanggup buat semua tu. Sampai hati.
Jadi kepada pembaca, aku nak nasihat. Aku nak pesan.
Tak kesah la siapa kita.
Tak kesah la apa pangkat dan jawatan pun kita di dunia ni.
Ingat.
Tak ada faedah sikit pun jika anda menfitnah dan mengaibkan seseorang tu.
Biarkanlah dia dengan hidup dia sendiri.
Tak perlu rasanya nak memburukkan seseorang itu supaya orang lain membenci dia.
Tak perlu. Buang masa.
Kalau rasa tak selesa, nasihatlah dia. Tegur dengan cara baik.
Ingat, hidup ini adil. 
Anda buat orang, orang akan buat anda semula.
Jika kita ada buat silap dengan seseorang, mintalah maaf. Tak susah.
Bak kata seorang kakak.
"Dia nak maafkan ke tak, itu urusan dia dengan Tuhan. Kita yang bersalah dan yang dah menyedari kesilapan ni dah pun menjalankan tanggungjawab kita."
Ingat.
Jangan sebab mulut, badan binasa.
Dosa dengan Allah, boleh solat sunat Taubat. Bersungguh-sungguh memohon ampun.
Kerana Allah sentiasa ada.
Tapi jika berdosa dengan manusia, pandai-pandai fikir.
Wallahualam.

Sunday, 10 June 2012

Sabar Ainul, Sabar.

Bila harapan dan impian kita dihalang oleh semua orang.
Bila kemahuan kita ditentang.
Bila cita-cita juga diperlekehkan.
Ingat, Allah sentiasa ada bersama.
Sabar Ainul, sabar.
Katakan apa sahaja yang mereka mahu, hati aku tidak akan berubah.
Sikit pun tak akan berubah. Aku berjanji.
Kerana aku percaya jalan ini benar.
Caci, maki, cemuhan, hinaan, dah tak ada kesan di hati aku.
Aku tetap akan pertahankan apa yang aku usahakan ni.
Sabar Ainul, sabar.
Air mata yang mengalir biarkan mengalir.
Jadikan air mata ini sebagai kekuatan untuk aku teruskan perjalanan.
Aku percaya.
Setiap masalah pasti ada jalannya.
Selagi hidup aku sentiasa bergantung hanya pada Allah, aku percaya Dia tak akan biarkan aku bersendirian.
Keputusan aku tidak akan berubah.
Aku dah kata aku cuma nak yang itu, jadi cuma itu yang aku nak.
Terima kasih Khairul Syafiq yang berusaha untuk bantu aku.
Siang dan malam.
Tawarkan aku untuk masuk jemaah itu dan jemaah ini.
Berikan aku dua orang sahabat perempuan dia untuk berikan aku lebih keselesaan.
Terima kasih kak Zuliana yang sentiasa berikan aku semangat.
Kongsikan ilmu itu dan ilmu ini.
Tak pernah buat aku rasa sunyi.
Sekurang-kurangnya ada jugak yang memahami.
Mata memang dah letih, tapi bukan hati.
Sabar Ainul, sabar.
Ya Allah, bantu aku. Kuatkan aku.

Saturday, 9 June 2012

Berperang Dengan Dosa

Soalan : Macam mana ainul boleh berubah? cam dulu ainul lain. sekarang ni banyak berubah. akak just tanya je. akak bangga ngan ainul coz dapat berubah. sebab akak tahu nak berubah susah. banyak kita kena hadapi.

Alhamdulillah.
Terima kasih kat kakak yang bagi soalan tu.
Sebenarnya soalan tu dah lama. 5 Jun lagi.
Cuma hari ni tiba-tiba teringat dan terbaca semula mesej dia tu.
 Baiklah, aku jawab.
Apabila kita katakan yang kita hendak mendekati Allah SWT, hakikatnya kita telah mengisytiharkan perang terhadap segala bentuk dosa dan maksiat.
Teringat kata-kata Iman Syafi'e.
"Ilmu itu ialah cahaya, dan cahaya tidak akan memasuki hati yang gelap."
Jika ilmu itu dianggap cahaya dan tidak memasuki hati yang gelap, apa lagi rahmat Allah yang pastinya lebih tinggi dan mulia daripada ilmu.
Sebenarnya, kefahaman kita untuk mendekati Allah itu juga merupakan ilmu.
Memang, jika kita perhatikan apabila hidup kita ini bergelumang dengan dosa, maka kita sukar untuk mendapatkan atau melakukan sesuatu.
Kebiasaannya apabila kita melakukan dosa dan maksiat, kita tidak mampu melakukan perkara yang biasanya kita boleh lakukan.
Kekuatan kita seakan-akan terhijab apabila kita melakukan dosa.
Kenapa?
Dosa pada hakikatnya akan menumbuhkan satu bintik hitam di hati kita.
Maka, jika kita berterusan melakukan dosa, tidakkah hati kita akan jadi semakin hitam?
Jika kita sering melazimi dosa dan tidak berusaha menjauhinya, maka hati kita akan jatuh pada peringkat hati yang sakit.
Pada peringkat hati yang sakit ini, kita akan lihat pada diri kita rasa berat untuk beramal.
Kita mula rasa enak dengan dosa yang kita lakukan dan kita boleh lihat yang diri kita telah jauh dari Allah.
Jika pada peringkat ini kita masih tidak sedarkan diri dan tidak berusaha untuk berperang dengan dosa serta berusaha untuk mendekati Allah, maka hati kita akan terus menghitam dan jatuh pada hati yang mati.
Adakah manusia di dalam dunia ini yang mati kemudian hidup kembali?
Maka seorang Mukmin akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga hatinya kerana hatinya ialah raja kepada seluruh tubuhnya.
Mendekati Raja Segala Raja, Pencipta Segala Pencipta, Ilah dan Rab kepada seluruh alam semesta, kita hendak atau tidak, perlu mengisytiharkan perang dengan dosa.
Jika pada saat ini diri kita masih dibelenggu dengan dosa-dosa yang kita suka lakukan, atau sudah terbiasa lakukan, maka kita perlu berusaha menjauhi dengan gerak tindakan yang konsisten.
Macam yang pernah aku katakan di satu laman sosial.
"Tiada manusia yang boleh berubah serta-merta, tetapi semua manusia perlu bergerak dan berusaha untuk berubah. Allah itu Maha Penyayang. Dia tidak akan mengecewakan hamba-hambaNYA yang mendekatiNYA."
Kita sebagai anak Adam pastinya akan melakukan banyak dosa. 
Tetapi sebaik-baik pelaku dosa ialah orang yang sering bertaubat.
Mari kita isytiharkan perang terhadap dosa-dosa kita.
Mendekati Allah Yang Maha Besar dan mendapatkan syurga yang selama-lamanya itu lebih besar daripada keseronokan dosa kita yang sementara.
Maka mari kita berusaha bersama-sama.
Ya, bersama-sama.
Kita sama-sama berperang, meningkatkan diri, meninggalkan dosa, dan mendekati Ilahi.
InsyaAllah.

Friday, 8 June 2012

Aku Cintakan Dia

Selepas solat isya' semalam, aku habiskan masa dengan menghadap laptop.
Bukan berfacebook, bukan berblogging, dan bukan juga bertwitter atau beryoutube.
Tapi ada satu laman web yang memaparkan kisah-kisah yang menarik perhatian aku.
Kisah tentang Dajjal, Kiamat, dan kisah tentang hari pembersihan.
Hari pembersihan yang dimaksudkan aku ialah satu hari pada pertengahan bulan Ramadhan, dan jatuh pada hari Jumaat.
Pada hari itu, hanya tinggal 1/3 sahaja manusia di dunia.
Yang tinggal itu adalah manusia yang beriman dan terpilih.
Selebihnya mati kerana takut dengan suara malaikat dari langit.
Betulkan sekiranya aku tersilap.
Aku mula terfikir untuk membaca artikel ini selepas teringat pesanan seorang kawan.
Sewaktu sedang Skype, dia sempat beritahu aku.
Tahun ini, 15 Ramadhan jatuh pada hari Jumaat iaitu pada 3 Ogos.
Betulkan lagi sekiranya ada kesilapan.
Aku tak risau. Dan rasanya tak perlu takut.
Sekiranya berita itu benar, maka jadilah.
Nabi pun pernah berpesan.
Sekiranya esok adalah hari kiamat, dalam tangan kita ada benih, maka tanamlah benih itu.
Yang akan berlaku biarkan berlaku.
Tak ada dan tak pernah Nabi ajarkan istilah terlambat.
Sebagai manusia, sediakanlah bekalan untuk menempuh hari kiamat itu.
Bertaubat, kembalilah ke jalan Allah.
Selagi Allah menghidupkan kita pada pagi ini, itu bermakna kita masih terlalu banyak dosa.
Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat kepada hambaNya tidak kira siang atau malam.
Allah berikan peluang, maka gunakanlah peluang itu sebaik mungkin.
Dan bila terbaca tentang kiamat, seterusnya kematian, aku terbaca tentang Cintamu Ya Rasulullah.
Dalam artikel itu menceritakan betapa kasihnya Rasulullah terhadap umatnya.
Menitis air mata ketika membaca artikel itu.
Rasulullah tak pernah lupakan umatnya walaupun seketika.
Tapi lihatlah di luar sana dan renungkanlah diri kita juga.
Terharu bila tahu sedalam mana cintanya kekasih kita kepada kita, lebih cinta dan dalam lagi kasih sayang Nabi Muhammad SAW kepada kita.
Sesiapa pun yang membaca artikel ini pula pasti akan menangis.
Aku yakin, aku jamin.
Dulu aku sibuk kejar cinta manusia.
Dulu juga aku leka dengan kasih sayang manusia.
Tapi sekarang, aku dapat rasa cinta yang lebih indah, lebih berpanjangan, lebih bahagia, dan lebih tenang berbanding cinta manusia yang pernah singgah di hati aku satu masa dahulu.
Iaitu cinta kepada Allah dan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.
Sungguh, sebenar-benarnya aku tak bohong.
Cinta ini buat aku rasa aku selalu dijaga dan tak pernah terasa keseorangan.
Aku ada tempat mengadu, aku ada sebab untuk berlagu (zikir & selawat), aku ada pendengar yang paling setia dan selalu berikan aku ketenangan malah jalan penyelesaian juga.
Aku berani katakan di sini, aku mencintai seorang lelaki ini lebih dari segalanya.
Sehinggakan pintu hati aku tidak mahu dibuka untuk mana-mana lelaki.
Ya, lelaki itu adalah lelaki yang paling sempurna.
Dirinya seperti Al-Quran.
Dialah Nabi Muhammad SAW.
Aku mencintai dia dengan segenap jiwa aku.